Sabtu, 5 April 2014

LATAR BELAKANG WAKAF MASJID PENAMPANG

WAKAF MASJID PENAMPANG, SABAH

LATAR BELAKANG

Masjid merupakan satu anugerah dan satu institusi yang sinonim dengan umat Islam. Masjid adalah sebagai tempat beribadah dan berinteraksi khusus untuk umat Islam.

Daerah Penampang ialah jiran yang rapat dengan Bandar Raya Kota Kinabalu. Oleh yang demikian maka berlakulah kepesatan penambahan penduduk pelbagai kaum di daerah ini, khususnya yang beragama Islam. Di samping itu, penjawat awam, swasta dan para peniaga yang beragama Islam juga penyumbang kepada penambahan penduduk Islam yang ketara di daerah Penampang.

Hal demikian menjadi kepentingan dan keperluan asas bagi penduduk Islam di Penampang agar sebuah masjid dapat didirikan di kawasan ini dengan kadar yang segera. Dengan terdirinya sebuah Masjid di daerah ini, umat Islam dapat menunaikan Solat Jumaat di samping menunaikan fardhu kifayah yang lain seperti pengurusan jenazah, solat terawih dan yang berkaitan.

Selaras dengan tujuan ini, satu Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang telah ditubuhkan hasil idea pelbagai pihak dan diharapkan agar Jawatankuasa ini dapat menggembleng tenaga serta usaha agar satu kutipan dana diperoleh untuk merealisasikan pembinaan Masjid ini melalui sumbangan kerajaan, orang awam dan syarikat-syarikat korporat.


MATLAMAT

- Menyediakan tempat ibadat yang strategik untuk umat Islam
- Tempat umat Islam berkumpul untuk menjalankan aktiviti-aktiviti agama.
- Mewujudkan institusi pendidikan agama untuk keperluan generasi Islam di daerah Penampang dan kawasan sekitarnya.
- Menjadi pusat informasi Islam dan “One Stop Centre”
- Menyemarakkan syiar Islam di daerah Penampang.


MAKLUMAT TAPAK

Cadangan tapak bagi pembinaan Masjid Wakaf ini telah dikenalpasti berhampiran dengan Jalan Penampang Bypass. Tapak yang sesuai yang telah dikenalpasti merupakan milik individu yang telah bermurah hati untuk memindah milik tanah ini pada harga yang sangat rendah berbanding harga sebenar pasaran. Individu ini berhasrat untuk melihat terbinanya masjid ini bagi memenuhi tuntutan agama Islam di daerah ini. Kebenaran kutipan dana dari Jabatan Ketua Menteri juga telah diperoleh bagi tujuan ini.

Sempena Ramadhan al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan, infakkanlah sebahagian rezeki kurniaan Ilahi untuk disumbangkan kepada projek pembinaan Wakaf Masjid Penampang bagi memudahkan masyarakat Islam di Penampang melaksanakan ibadah dan mempelajari dan menambah ilmu. Sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun JAWATANKUASA WAKAF MASJID PENAMPANG di Bank Islam Malaysia Berhad, 10016010074517 atau hubungi Sekretariat Wakaf Masjid Penampang di talian 088-212080.
General Information

Tiada ulasan:

Catat Komen